BMW Kes Tikam, Gilis Di Johor. Polis Jumpa BUKTI Ditinggal Di Kebun Kelapa Sawit

| December 27, 2017 | 0 Comments

BMW Kes Tikam, Gilis Di Johor. Polis Jumpa BUKTI Ditinggal Di Kebun Kelapa Sawit | BICARA ISLAM – Kereta BMW 520D yang digunakan dalam kejadian pembunuhan di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, 17 Disember lalu, dijumpai ditinggalkan di sebuah kebun kelapa sawit di Ayer Baloi, dekat Pontian.

BMW TERBIAR DI KEBUN KELAPA SAWIT

Polis menemui kereta itu hasil maklumat awam, kira-kira jam 3 petang semalam, iaitu selepas 10 hari kes pembunuhan terbabit berlaku.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata hasil pemeriksaan awal mendapati kereta yang sudah dibuang nombor pendaftaran itu adalah kereta sama yang digunakan dalam kejadian pembunuhan pada 17 Disember lalu.

“Polis menemui kereta itu di sebuah kebun kelapa sawit dan kita menemui beberapa perkara yang mengaitkannya dengan kejadian.

“Jadi kita positif bahawa kereta itu adalah kereta yang sama yang digunakan dalam pembunuhan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

DISERANG KETIKA ISI ANGIN TAYAR KERETA

Dalam kejadian 7.30 malam, 17 Disember lalu, seorang lelaki yang juga ahli kongsi gelap berusia 44 tahun diserang sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta jenis BMW ketika sedang berhenti di stesen minyak untuk mengisi angin tayar kereta yang dinaikinya.

Mangsa dibelasah dan ditikam tepat pada bahagian jantung sebelum digilis kereta BMW yang dipandu suspek.

Mohd Khalil berkata, pada masa sama pihaknya masih memburu tiga lagi suspek utama kes terbabit yang dipercayai masih berada dalam negara ini.

ANTARA SUSPEK YANG DITAHAN

Terdahulu, Polis Johor menahan 13 individu termasuk empat wanita bagi membantu siasatan kes pembunuhan tikam dan gilis di sebuah stesen di Taman Pelangi, Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata semalam pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita di Pulau Pinang, manakala empat lelaki dan tiga wanita lagi ditahan di Singapura dengan bantuan polis Singapura.

“Seramai empat lelaki ditahan di Johor oleh Pasukan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai 13 orang.

“Semua suspek ditahan berusia antara lingkungan 16 hingga 26 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan beberapa lagi suspek dikehendaki bagi membantu siasatan.

Terdahulu, pagi tadi Majistret Noor Aisyah Ahmad membenarkan penahanan reman enam individu termasuk seorang wanita selama reman tujuh hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian jam 7.30 malam Ahad lalu, mangsa maut selepas disyaki ditikam sebelum dilanggar dan digilis kereta ketika mengisi angin tayar dalam kejadian pergaduhan di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian dada kiri.

Katanya, susulan kes itu, 15 orang termasuk empat ditahan dengan 11 orang sudah dibebaskan.

“Setakat ini tiga lelaki dan seorang wanita masih ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Tags: , , ,

Category: Jenayah

About the Author ()

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *