Kerap Peluk Bantal Ibu Sebelum Maut

| May 2, 2018 | 0 Comments

Kerap Peluk Bantal Ibu Sebelum Maut | BICARA ISLAM – Hari ini, Nur Syahirah Mohamad Farid, 21, meratapi pemergian suaminya, Muhammad Safuan Sazali, 23, apabila kenderaan Honda yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 29.9, Lebuh Raya LinKedua, Kulai, di sini.

Sebelum kemalangan kira-kira pukul 12 tengah hari itu berlaku, pasangan pengantin baharu itu dan empat lagi sahabat sekampung dalam perjalanan menuju ke Ayer Hitam untuk menikmati makan tengah hari di sebuah restoran kari kambing terkenal di situ.

Kesemua mereka yang menetap di kawasan Kota Tinggi menaiki dua buah kereta iaitu Honda dan Perodua Bezza.

Selain Muhammad Safuan, dua lagi yang maut dalam kemalangan itu ialah pemandu kereta Honda, Muhammad Aseel Habel Akbar, 21, dan pemandu kereta Perodua Bezza, Mohamad Ridzuan Mohamad, 24.

Sementara Nur Syahirah dan dua lagi rakannya iaitu Nur Zaffira Zulkhairi, 25, dan Muhammad Hamirul Ikmal Ishamuddin, 24, masing-masing penumpang Perodua Bezza cedera.

Ibu Muhammad Safuan, Rohani Abdullah, 43, memberitahu, dia tidak menjangka perubahan ditunjukkan anaknya sejak akhir-akhir ini menjadi petanda kehilangannya.

“Dia baru saja berkahwin 11 hari lalu. Sejak akhir-akhir ini perangainya berubah, dia kerap dilihat memasuki bilik saya dan memeluk bantal peluk saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai dekat sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum pemandu dan penumpang depannya tercampak keluar dan maut di tempat kejadian.

Menurutnya, sejurus selepas itu, kereta Perodua Bezza yang mengekori dari belakang tidak sempat mengelak daripada melanggar kereta Honda sebelum terbabas dan terbalik.

“Akibat kejadi­an tersebut, pemandu Perodua Bezza turut tercampak dan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Balai Trafik Kulai, Inspektor Raimi Zainal Abdidin di 07-6632222 untuk menyalurkan maklumat.

Difahamkan, jenazah tiga mang­sa yang maut telah dituntut oleh keluarga masing-masing dan dikebumikan di Kota Tinggi hari ini.

Kredit : EBerita

Tags: , , ,

Category: Kemalangan

About the Author ()

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *